Sunday, August 05, 2007

Dilema umat dan sinar Islam


Dikatakan bahawa Islam semakin berkembang dan mendapat tempat di kalangan 'Japanese' dan 'Korean'.Di Jepun tidak dinafikan bahawa terdapat bangsa Jepun muslim tetapi yang pasti sebahagian besar daripada Muslim di Jepun adalah daripada bangsa asing yang menetap dan bermaustatin di sini.Di tempat kerjaku, hanya aku seorang Muslim namun apa yang menarik ialah mereka, 'Japanese' menghormati hak aku sebagai seorang Muslim.

Sebelum keberangkatan ku ke Jepun lagi, mereka telah mneyakinkan aku supaya tidak perlu risau apabila tiba di sini kerana segalanya akan disediakan dan diberi perhatian yang sewajarnya.Bilik solat khas,hak menunaikan solat ketika waktunya dan menu yang menepati citarasa Muslim, telah disediakan dengan baik sekali.Aku sangat bersyukur.

Aku harap Islam akan menyinar dengan lebih terang di bumi Sakura yang bertuah ini.Bagi aku, apa yang bagus tentang orang Jepun ialah mereka tidak akan menerima sesuatu secara bulat-bulat tanpa sebab yang kukuh dan rasional.Segala persoalan logis "Kenapa, bagaimana, mengapa," dan sebagainya akan dikemukan tentang Islam lantaran bagi mereka untuk memahami Islam yang sebenarnya.Inilah sifat 'reasoning & practical' bangsa Jepun yang aku sanjungi berbanding orang Melayu kita (termasuklah empunya diri ini muhaha) yang biasanya membuat sesuatu tanpa memahami secara mendalam hakikat dan sebab musabab sesuatu amal.

Sebagai contoh, orang kita amat takut untuk menyentuh anjing (walaupun Poodle yang comel itu), menjauhi makanan berupa daging yang tidak disembelih secara Islam, mengatakan itu haram ini haram secara tegas, tetapi apabila disoal "Mengapa, kenapa" dan sebagainya pasti tidak ramai yang dapat memberi jawapan yang jelas,meyakinkan dan tepat.Jawapan biasa yang hanya mampu dihamburkan ialah, "Kerana telah diarahkan oleh tuhan, kerana tertulis dalam Al-Quran, kerana ditegah oleh agama". Inilah kelemahan umat kita yang hanya hebat dan gah dalam beramal (secara membuta tuli) tetapi tidak dalam berfikir.Kita hanya mampu berhujah secara 'suku masak' dan ini pastinya tidak akan memberi sebarang makna.

Perlu diingatkan bahawa sikap jelik umat kita yang lebih kepada sindrom "Buat sajalah, jangan banyak soal..Kalau dah Islam kata haram tu, haramlah,cakap banyak buat apa!" menyerlahkan lagi kebobrokan dan kebodohan kita sebagai pengikut yang buta tuli seperti lembu dicucuk hidung.Sikap seperti inilah menyebabkan berlakunya pembrontakan dan penolakan orang Eropah kepada sistem gereja dan Kristian pada zaman pertengahan lantas mencetuskan kebangkitan zaman "Enlightenment" dan "Reason".Sikap kejumudan yang mengetepikan hakikat berhujah untuk menyuraikan kekeliruan dan kegelapan sebaliknya untuk mencari kebenaran telah menyebabkan kemunduran kukuh mencengkam nasib umat Islam ketika ini.

Aku yakin Islam itu sendiri tidak rela sekiranya umatnya hanya gah dan bising dalam mengharamkan itu dan ini, mengkafirkan orang itu dan ini, mencemuh bangsa itu dan ini, beramal secara membuta tuli tetapi tidak disertakan dengan hujah yang kukuh dan logis.Justeru apakah yang menjamin kita untuk berupaya berhujah secara telus dan bijaksana, tidak lain dan bukan daripada ilmu yang hak berserta amalan berfikir dan bersoal.Sama-samalah kita fikirkan.

Menafikan hak bersoal, menyampaikan pendapat dan bersuara adalah suatu tindakan autoritarian dan ini ternyata bercanggah dengan prinsip Islam itu sendiri yang menggalakkan sikap berlapang dada dan terbuka.Di Malaysia terutamanya, ada dikalangan ustaz dan orang agama yang akan menempelak apabila disoal "Mengapa dan Kenapa". "Ustaz kenapa kita diharamkan daripada....", maka tidak kurang di kalangan 'orang-orang agama' ini akan membalas seperti "Kalau Islam dah kata haram tu..haramla. Kalau awak banyak soal menunjukkan awak tidak yakin pada ajaran Islam".
Bagi aku, sikap sebegini yang ditunjukkan oleh sebahagian umat kita adalah kerana mereka sendiri tidak begitu yakin dan memahami Islam secara mendalam tetapi malu untuk mengakui akan kejahilan diri sendiri.Budaya sebeginilah yang menyebabkan umat Islam sekarang tidak mampu mencerna idea-idea yang bernas,tidak mampu berfikir secara logis,tidak mampu berhujah secara bijaksana, tidak mampu berinovasi dan merekacipta,mundur dalam arena sains, teknologi dan industri, dan kesimpulannya, hanya mampu menjadi umat pengguna dan bukan pencetus.

Tidak kurang juga yang akan menyanggah sekiranya dikaitkan Islam dengan penemuan saintifik.Mereka mempersoalkan mengapa sesuatu yang ditulis di dalam Al-Quran dan diriwayatkan dalam Hadis perlu dikaji dan diselidiki akan keberkesanan dan kebenarannya.Mereka lebih rela dan suka sekiranya umat ini hanya menjadi umat yang mengikut saja seperti lembu dicucuk hidung.Aku yakin...dan sememangnya aku yakin dengan sepenuh hati aku, bukan inilah yang di citakan oleh Islam.Siapakah pengkhianat dan penghancur Islam itu sendiri? Adakah mereka dikalangan bukan Muslim atau dalang sebenar yang mengikis budaya-budaya intelek itu adalah dikalangan orang Islam itu sendiri.Ayuh marilah kita sama-sama berfikir..dan bertindak untuk mengubah fenomena yang sudah lama membarah agar umat dapat bergerak maju ke hadapan menjadi umat yang progresif dan makmur, inshaallah.

Besto Regardo,

Buah fikiran yang tidak seberapa ini tercetus sementelah aku sering bergaul dan bertukar pendapat dengan rakan-rakan sekerjaku, bangsa Jepun.Aku pasti, sekiranya bangsa Jepun ini ramai yang mendapat hidayah memahami hakikat sebenar Islam, maka sinar Islam akan lebih terserlah kerana mereka ternyata memiliki sikap,budaya,cara berfikir dan mentaliti yang sangat baik.(Sememangnya model & tauladan daripada sikap bangsa Jepun telah diakui dunia). Go go Nippon...!!

以上です。

Labels: ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home