Saturday, October 20, 2007

Nilai baik warga Tokyo wajar dijadikan teladan

Oleh Mohamad Muda (Yang berkunjung ke Tokyo dan Kyoto, Jepun, baru-baru ini)

KATA orang, kalau ke Jepun atau mahu maju seperti masyarakat negara matahari terbit itu, jangan jadi seperti orangnya, tetapi ikut nilai dan budaya hidup serta disiplin kerja mereka, antaranya tekun, menepati masa, menghormati orang lain dan sentiasa mengutamakan kebersihan.
Memang benar, walaupun cuma seminggu berada di Tokyo dan Kyoto ketika mengikuti lawatan kerja rombongan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memantau pelajarnya di dua bandar itu baru-baru ini, amalan nilai positif di kalangan masyarakat negara berkenaan dapat dilihat di mana-mana, terutama dari segi kebersihan.

Sebagai contoh mudah, sebaik penulis bersama rombongan YPM keluar bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, selepas enam setengah jam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mata tertumpu ke suatu arah (sekali pandang macam kandang) yang turut tersedia beberapa tempat membuang puntung rokok - tempat khas untuk merokok rupanya.
Dari segi kecanggihan terutama sistem pengendalian dan pengurusan penumpang, pada pendapat penulis, KLIA jauh lebih hebat berbanding Narita. Bagaimanapun, Narita ada kelainan sedikit kerana turut menyediakan tempat khas untuk perokok di luar bangunan terminalnya, barangkali untuk menjaga kebersihan persekitaran.
Di KLIA pun ada disediakan kemudahan sama di luar terminal, tetapi berbeza sifatnya. Malah, di negara kita di mana-mana, terutama di bandar dan tempat awam, malah perhentian bas tepi jalan sekalipun, ada disediakan tempat membuang sampah dan puntung rokok. Hairannya, puntung rokok tetap bertaburan.

Keadaan itu dipercayai berpunca antara lain kerana perokok tidak memanfaatkan kemudahan disediakan, sebaliknya masih membuang puntung rokok ikut suka. Kedua, bekas habuk rokok itu sendiri tidak dibersihkan pihak berkenaan sekalipun kandungannya melimpah hingga menyebabkan bau dan menyakitkan mata memandang.
Apa yang ingin penulis nyatakan ini bukan mengenai bahaya merokok kerana semua orang tahu kesan dan akibatnya, tetapi dari sudut kebersihan dan disiplin. Dakwaan bahawa perokok pengotor dan tidak berdisiplin adalah benar selagi mereka yang ketagihan tembakau itu tidak berusaha mengubahnya.

Tanggapan itu mampu diubah jika perokok sendiri sedar tanggungjawab mereka, antaranya menjaga kebersihan - tidak mengamalkan budaya jentik atau pijak puntung rokok merata-rata. Selain itu, mereka seharusnya merokok di kawasan sesuai atau difikirkan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain, khususnya perokok pasif.
Sebagai contoh, ketika mengunjungi beberapa tempat tumpuan ramai di Tokyo, antaranya Asakusa yang memasarkan pelbagai barangan kraf dan cenderamata, Akihabara terkenal sebagai pusat barang elektrik dan elektronik, Ginza yang mempunyai pelbagai gedung pakaian jenama, Ueno tersohor dengan peralatan golf serta Takeshita Street di Harajuku, tempat tumpuan remaja moden Jepun, penulis perhatikan rata-rata perokok Jepun memanfaatkan kemudahan disediakan.
Mereka bukan saja memastikan puntung rokok dibuang di tempat disediakan, malah terlebih dulu berhenti atau berdiri berhampiran ketika melepaskan 'hajat' itu dan hanya berlalu pergi selepas selesai. Apa yang membanggakan, orang luar termasuk dari Malaysia juga berbuat demikian, tidak pula menjentik atau memijak puntung rokok itu merata-rata.

Jika di Malaysia dilancarkan kempen 'Tak nak merokok', di Tokyo pula ketika itu berlangsung kempen 'Jangan buang puntung rokok merata-rata'. Oleh itu, tidak hairan jika di beberapa kawasan tumpuan penulis kunjungi itu terlihat di mana-mana tergantung sepanduk kempen berkenaan.
Dalam hal ini, walaupun penulis difahamkan masyarakat Jepun memang kuat merokok, tetapi kerana disiplin dan sentiasa mengutamakan kebersihan, bukan tiada tetapi agak sukar untuk melihat perokok di kalangan masyarakat negara itu yang merokok sambil berjalan terutama di tempat awam, apatah lagi ketika membuat sesuatu pekerjaan.

Satu lagi aspek yang sempat penulis lihat dan rasai sendiri, walaupun remeh tetapi besar ertinya, ialah sikap menghormati orang lain di kalangan masyarakat yang suatu ketika dulu dicop sangat ganas itu, terutama sewaktu penaklukan negara kita lebih enam dekad lalu.
Selain mementing dan menepati masa, orang Jepun kini dilihat sangat menghormati tetamu atau orang lain. Contohnya, seorang pemandu van sewa berkali-kali memohon maaf kerana dia tidak sempat memakai kot sewaktu kami menaiki vannya, pada hal pakaiannya ketika itu kemas termasuk bertali leher.

Dalam pengalaman lain, peniaga atau penjual tetap mengucapkan terima kasih kepada pelanggan sekalipun tidak membeli barangan mereka selepas membuka atau mencubanya. Sambil tunduk hormat, mereka tersenyum lebar, bukannya mengomel atau mengata pelanggan, walaupun penat melayan.

以上です。

Labels: , ,

0 Comments:

Post a Comment

<< Home